Aug 20, 2011

Pergi

Assalamualaikum...

Salam perjuangan buat sahabat-sahabat semua yang kini sedang bertungkus-lumus dan berusaha sehabis baik menggandakan ibadat pada bulan yang penuh barakah ini untuk memburu lailatul qadar. Diam tak diam, dalam kesibukan melalui hari-hari yang penuh ranjau dan onak duri di SeMaC, Ramadhan hampir pergi meninggalkan kita. Betapa sekejapnya masa berlalu. Terasa macam baru semalam solat tarawih malam pertama Ramadhan di Surau As-Sufi. 

Bagaimana Ramadhan kita yang sudah masuk hari ke-20 ini?? Kita kini sedang melalui fasa pembebasan dari api neraka. Adakah kita mengambil peluang sebaiknya dalam menjayakan misi menjadi orang-orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT? Ataupun kita ternyata semakin jauh dan jauh lantas tidak mengendahkan kehadiran Ramadhan? Dek kerana sibuk dengan persiapan Syawal yang bakal menjelang, Ramadhan berlalu seperti angin lalu tanpa apa-apa nilai. Sedangkan, pada masa kritikal beginilah, kita sepatutnya berebut dan berusaha sungguh-sungguh untuk menjadi insan cemerlang di sisi Allah pada bulan ini. Berbahagialah bagi mereka yang benar-benar haloba dalam beribadah dan amat rugilah bagi mereka yang hanya menjalani Ramadhan dengan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Namun, pemergian Ramadhan bukan sebagai garisan penamat bagi kita selaku muslim untuk culas dan malas beribadah. 

"Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keredhaan Allah, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu". 

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada lailatul qadr. Tahukah kamu apakah lailatul qadr? Lailatul qadr lebih baik dari seribu bulan" (Surah Al-Qadr: 1-3)

Alangkah bertuahnya hati ini jika dipertemukan dengan lailatul qadar. Satu malam yang penuh syahdu dan berkat, malam yang ditunggu-tunggu oleh para anbiya' dan para solihin yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain. Namun, malam lailatul qadar tidak akan datang bergolek, kita sebagai manusia hendaklah berusaha dan berdoa untuk mendapatkannya kerana lailatul qadar menjanjikan ganjaran seperti beramal 1000 bulan dan doa kita dikabulkan Allah. Subhanallah! Maha pemurah dan penyayangnya Allah terhadap hamba-hambaNya yang beriman.

"Allahumma arzukna lailatul qadr" Ya Allah, rezekikan kami lailatul qadar.

Sekian, 
-Semoga menjadi pemburu Lailatul Qadar yang berjaya~!!- 

::Ramadhan yang sama, natijahnya berlainan::

No comments:

Post a Comment

[Click click]