Feb 13, 2011

Teks pengacara majlis a.k.a emcee

Assalamualaikum...


Ini la dia teks emcee yg dibaca oleh Nur Afiyah masa Majlis Perjumpaan Ibu Bapa PSRA 2011 hari Sabtu yang lepas (12 Februari 2011).


Bismillahirahmanirrahim. Alhamdulillah…….Assalamualaikum w.b.t, salam sejahtera, salam ceria,  salam Satu Malaysia, dan salam penuh kemesraan.

Biji selasih boleh dimakan,
Menjadi perisa sedap terperi,
Selamat datang kami ucapkan,
Semoga majlis tambah berseri.

Alhamdulillah terus dipanjatkan, setulus hati, seikhlas nurani, semurni jiwa, dimunajatkan rasa syukur ke hadrat Illahi, Allah Yang Maha Agong dan Maha Tinggi, Maha Pengampun, Maha Bijaksana, Maha Pengatur dan Maha Perencana. Ke atas segala ciptaanNya di langit dan di bumi. Demi kebesaran dan ketulusan rahmat yang dilimpahkan, demi kekuatan azam dan iltizam yang dikurniakan,beserta izin dan inayahNya jua, didorong dan digerakkan minda serta deria rasa, dianugerahkan akal kita dengan kewarasan, fizikal mapan dengan ’afiah kecergasan, lantas dihimpun dan dipertemukan kita semua bagi menjayakan kemurnian agenda Majlis Perjumpaan Ibu Bapa PSRA 2011. Pihak majlis mengambil ruang seawal waktu untuk menyatakan sepenuh aprisiasi setulus hati, atas kehadiran guru-guru, ibu bapa, dan pelajar-pelajar. Selamat datang kami alu-alukan. Terima kasih.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebelum meneruskan majlis, marilah kita sama-sama membaca ummul kitab Al-Fatihah. Semoga majlis yang dijalankan pada pagi ini mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.

Hadirin, hadirat yang dihormati sekalian,

Daun Layu di tengah gurun,
Nampak jalur pohon cemara,
Tradisi Melayu turun temurun,
Pantun ditutur pembuka bicara.

Yang Dihormati Tuan Haji Mohd Salim Bin Abdullah, Guru Besar *Pengetua* KAFA Integrasi Hidayatul Iman, Yang Berusaha Ustazah Nor Ainon Binti Abdul Rahman, Guru Penolong Kanan 1, Yang Berusaha Ustazah Sakinah Binti Shamsuddin, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Yang Berusaha Ustazah Nurul Aini Binti Maas, Penyelaras Darjah 6, dan seterusnya yang dialu-alukan guru-guru, ibu bapa, dan pelajar-pelajar yang dirahmati Allah sekalian.

Hadirin dan hadirat sekalian,

Dini hari pergi lautan,
Untuk menjala si ikan bilis,
Assalamualaikum tuan dan puan,
Mohon saya meneruskan majlis.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, program ini ialah berkaitan dengan pembentangan Pelan Strategik bagi mencapai kecemerlangan pelajar-pelajar Darjah 6 yang akan menghadapi peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang bakal menjelang tiba.

Hadirin sekalian,

Kalau pergi ke Tanjung Keramat,
Singgah sebentar di rumah Cik Samad,
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.

Bagi memberkati acara dan agenda kita, marilah kita semua selaku insan kerdil sifat dan upaya, dengan sanubari yang bersih, minda yang jernih, menghimpunkan segala harapan dan hasrat. Dengan bait-bait doa serta munajat. Untuk itu, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Saudara *Adik* Danial Iskandar Bin Zulkifli untuk memimpin bacaan doa. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.

Aamin, Ya Robbal ’Aalamiinn.
Semoga pertemuan kita pada pagi ini dipelihara dan dilimpahkan sepenuh manfaat dan keceriaan, menambah tautan kemesraan serta berpisahnya kita nanti akan diiringi dengan jutaan ketenangan. Majlis merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Saudara *Adik* Danial Iskandar di atas pimpinan doa itu tadi.

Hadirin sekalian,

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah,
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah nan indah.

Seterusnya, marilah sama-sama kita memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quranul Karim oleh Saudari Fatin Nabila Binti Zulhisyam (budaknye tak datang, so ganti org lain). Majlis dengan segala hormatnya dipersilakan.

Semoga dengan bacaan doa dan alunan ayat suci al-quran itu tadi, majlis kita pada hari ini diberkati dan diredhai Allah SWT.

Bagi meneruskan acara, marilah kita sama-sama menyaksikan persembahan dari pelajar-pelajar darjah 6. Dipersilakan.

Sidang hadirin yang dikasihi sekalian,

Untuk tidak melengahkan masa, seterusnya majlis menjemput Yang Berusaha Ustazah Nurul Aini Binti Maas, Penyelaras Darjah 6 untuk menyampaikan ucapan alu-aluan. Dengan segala hormatnya majlis mempersilakan.

Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustazah Nurul Aini di atas ucapan itu tadi.

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian,

Seterusnya, majlis menjemput Yang Berusaha, Tuan Haji Mohd Salim Bin Abdullah, Guru Besar *Pengetua* KAFA Integrasi Hidayatul Iman untuk menyampaikan sepatah dua kata. Majlis dengan hormatnya dipersilakan.

Demikianlah tadi sepatah dua kata daripada Tuan Haji Mohd Salim selaku Guru Besar sekolah ini. Pihak majlis mengucapkan ribuan terima kasih di atas ucapan yang disampaikan sebentar tadi.


*Rumusan ucapan Pengetua*

Seterusnya, saya menyerahkan majlis ini kepada Tuan Haji Mohd Salim Bin Abdullah untuk pembentangan Pelan Strategik Perancangan dan Tindakan Program Kecemerlangan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) 2011.

*Rumusan Pelan Strategik Kegemilangan* 


Hadirin yang dihormati sekalian,

Seterusnya majlis dengan hormatnya menjemput dan mempersilakan Encik……………mewakili ibu bapa untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya melantik wakil ibu bapa yang baru bagi tahun 2011. Majlis dengan segala hormatnya dipersilakan. *Sesi soal jawab*

Majlis setulus hati merakamkan aprisiasi dan jutaan terima kasih kepada Encik…………..di atas ucapan dan kesudian melantik wakil ibu bapa itu tadi.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kini tibalah saat yang dinanti-nantikan oleh pelajar-pelajar dan ibu bapa. Majlis dengan segala hormatnya menjemput Saudara Alif Syafiq Bin Rashidi selaku ketua murid bagi menyempurnakan acara Akur Janji oleh pelajar-pelajar Darjah 6. Dengan segala hormatnya dipersilakan.


*Rumusan akur janji*

Hadirin sekalian,

Bunga seroja di atas cemara,
Jatuh sekuntum di atas para,
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua yang kami pinta.

Tuan puteri pergi ke Rasah,
Pulang semula sebelah pagi,
Kita bertemu akhirnya berpisah,
Diizin Tuhan bersua lagi.

Dengan berakhirnya acara Akur Janji itu tadi, maka berakhirlah sudah majlis Perjumpaan Ibu Bapa PSRA 2011. Bagi pihak majlis, saya memohon jutaan ampun dan maaf seandai sepanjang pengendalian majlis ini, terdapat kesilapan tutur kata, tersilap bicara kerana sesungguhnya yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan yang serba kekurangan itu datangnya daripada saya sendiri.

Semoga perjumpaan ini memberi manfaat kepada tuan-tuan dan puan-puan dalam memantapkan sahsiah dan akademik pelajar-pelajar Darjah 6. Sekian wabillah…..

Selepas ini para hadirin dijemput untuk ke jamuan makan yang telah disediakan.

*Bukannya cakap sebijik-sebijik ikut teks ni pun. Suka-suki je nak cakap apa. Huhu...

Teks ni ada la search kat blog http://skrippengacara.blogspot.com/ . Memang banyak membantu. Thank you so much~!!

No comments:

Post a Comment

[Click click]